Wednesday, May 11, 2011

Seni Khat


 Ayat Pelindung

 

Oleh itu, Allah jualah Penjaga yang sebaik-baiknya, dan Dialah jua Yang Maha Mengasihani dari sesiapa sahaja yang menaruh belas kasihan. (Yusuf : 64)

Karya Halias Abu Bakar (taqlid Syed Ibrahim), khat Thuluth, ukiran kayu, 50x163sm, 2008, koleksi Muzium Etnografi Melayu.





Selawat Syifa'
 
Selawat adalah satu elemen penting dalam berdoa. Antara adab berdoa ialah memuji Allah S.W.T. dan berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W. sebelum memohon perkara yang dihajati. Ada pelbagai versi selawat, antaranya Selawat Syifa'. Selawat Syifa' ini biasa diamalkan untuk tujuan pengobatan pelbagai penyakit dan masalah.

Terjemahan Selawat Syifa ;

Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami, Nabi Muhammad S.A.W., yang dengan berkat baginda, Engkau menyembuhkan hati, menjadi penawar dan menyihatkan tubuh badan, juga memberi sembuhan penyakit, serta mengurniakan cahaya penglihatan. Kurniakanlah juga rahmat keberkatan dan kesejahteraan kepada keluarga dan sahabat baginda.



Karya Zuhud 'Ulya Iberahim, khat Diwani, akrilik atas kanvas, 155x91sm, 2010,
koleksi Muzium Etnografi Melayu

Sunday, May 1, 2011

Saturday, December 4, 2010

Munajat Di Tinta Khat (Berita Harian)

Berita Harian, 24 November 2010



Thursday, December 2, 2010

Munajat Di Tinta Khat (Kosmo)

Kosmo, 25 November 2010


Wednesday, December 1, 2010

70 Karya Seni Khat Dipamerkan di UM


Utusan Melayu, 15 November 2010















Pameran Seni Khat : Munajat Di Tinta Khat



Pengenalan

“Khat” dalam bahasa Arab bermaksud tulisan atau garisan yang indah. Seni khat sering dikaitkan dengan penulisan ayat-ayat suci Al-Quran di atas lembaran-lembaran kertas, dan kemudiannya dibukukan alam bentuk “musyhaf”. Seni khat juga dihasilkan daripada penulisan hadis, surat-menyurat antara pemerintah, penulisan surat-surat perjanjian dan kitab-kitab agama.


Selain ditulis, seni khat juga boleh dinikmati dalam bentuk seni rupa lain seperti diukir pada batu dan kayu, dilukis pada tembikar, ditenun dan ditekat pada kain dan pakaian. Seni khat juga tidak terkecuali daripada pengaruh seni dan teknologi kontemporari. Antaranya, banyak karya khat digabungkan dengan seni catan, direka dan dicetak secara digital, malah ada juga mural khat di tembok.


Dalam konteks budaya Melayu, karya-karya khat lazimnya melibatkan penggunaan kalimah-kalimah suci yang menjadi penghias dinding bukan sahaja pada masjid dan surau, malah turut menjadi penghias dinding rumah dan pejabat. Zaman berubah, namun seni khat masih dilestarikan dengan makna dan simbol yang suci dalam kehidupan sosial orang Melayu.

Anjuran, tarikh & tempat

Atas kesedaran dan rasa tanggungjawab untuk melestarikan seni khat tempatan, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya telah bekerjasama dengan Persatuan Seni Khat Kebangsaan (PSKK) untuk mengadakan “PAMERAN SENI KHAT : MUNAJAT DI TINTA KHAT” selama 2 bulan mulai 1 Oktober hingga 30 November 2010, bertempat di Muzium Etnografi Melayu, APM, UM.




Peserta & karya

Sebanyak 70 buah karya khat yang dihasilkan oleh seniman-seniman khat tanahair, dan beberapa karya khat koleksi Muzium Seni Asia, Muzium Negara, Muzium Kraf dan Yayasan Restu dipamerkan.

Sebahagian besar karya yang dipamerkan bertemakan “doa”. Justeru, selain memperlihatkan keindahan seni khat, pameran ini juga membawa mesej tentang pentingnya amalan berdoa. Sebagai pelengkap, terdapat juga beberapa karya yang menuliskan kalimah-kalimah suci, zikir, petikan surah dari Al-Quran, asma’ ul-husna, dan selawat. Karya-karya yang dipamerkan merangkumi pelbagai jenis tulisan khat antaranya Kufi, Thuluth, Naskh, Riqa’ah dan Diwani.

Dari segi jenis bahan dan teknik pula, ada contoh karya-karya yang dihasilkan dengan kaedah penulisan tradisi menggunakan buluh resam dan dakwat, catan akrilik atas kanvas, lukisan batik, ukiran khat pada kayu, batu, tembikar dan tembaga, tulisan-tulisan khat yang ditenun pada kain songket dan kain kelambu Kaabah, selain beberapa karya yang dihasilkan menggunakan media campuran seperti perada emas, kulit tiram, perspek, porselin dan alumunium. Tidak ketinggalan beberapa karya khat dihasilkan menggunakan media cetak digital.

Aktiviti sokongan

Pameran ini telah dirasmikan oleh Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, Pengarah APM, pada 19 Oktober 2010, di Dewan Semarak, APM. Sempena perasmian tersebut, majlis ilmu “Wacana Warisan” yang membincangkan tentang “khat” dan “doa” juga diadakan.



Wacana ini dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Ruzaika Omar Basaree (UiTM Shah Alam), dan menampilkan tiga orang ahli panel iaitu Profesor Dr. Bukhari Lubis (PSKK), Pn. Nor Azlin Hamidon (APM), dan  Prof. Dato’ Dr. Mohd. Zulkifli Hj. Mohd. Yusoff (Akademi Pengajian Islam, UM). Masing-masing membicarakan tentang “Kesan Penggunaan Seni Khat Islami Dalam Penyebaran Islam”, “Taburan Seni Khat Bertemakan Doa Di Malaysia” dan “Konsep dan Amalan Doa Dalam Islam Dan Budaya Melayu”.

Acara sampingan yang dilangsungkan sempena perasmian ialah Demonstrasi dan Jualan Khat yang diadakan di ruang legar APM selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Oktober 2010. Demonstrasi dan jualan ini telah dimeriahkan dengan penglibatan Yayasan Restu, dan beberapa orang penulis khat tempatan.
 



Wednesday, September 1, 2010

Pameran Koleksi APM 2010



Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya telah mengadakan Pameran Koleksi APM 2010, bertempat di Muzium Etnografi Melayu , APM, Universiti Malaya. Pameran ini diadakan selama sebulan dari 1 hingga 31 Ogos 2010.


Objektif pameran ini ialah untuk memasyarakatkan koleksi Muzium Etnografi Melayu yang terkumpul gabungan koleksi Jabatan Pengajian Melayu, Hasil Projek Penyelidikan APM, Karya Pelajar APM, dan Perolehan Baru Muzium Etnografi Melayu.


Antara koleksi yang dipamerkan adalah seperti barangan tembikar, tembaga, seni anyaman kelarai, seni ukiran, keris, songket, model rumah Melayu, seni khat, teknologi pertanian dan perikanan Melayu, foto tokoh pengajian Melayu, foto penyelidikan APM, dan poster projek-projek Penyelidikan APM.