Thursday, March 1, 2012

Pameran Perisai



Perisai umumnya dikenali sebagai alat untuk melindungi diri daripada serangan pukulan, tikaman, atau tembakan yang dilakukan oleh lawan pada kita. Menurut Kamus Dewan, perisai ialah alat untuk menangkis senjata (tikaman, pukulan, dll). Dalam bahasa Jawa, perisai disebut taming. Biasanya alat ini digunakan pada tangan, dan boleh dipadankan dengan senjata lain seperti pedang, tombak atau belantan. Selain pada tangan, ada juga perisai yang direka khusus untuk melindungi lain-lain bahagian tubuh seperti muka dan badan. Perisai boleh diperbuat daripada pelbagai bahan antaranya besi, tembaga, kayu, rotan, kulit dan tempurung haiwan. Bentuk dan ragam hias perisai juga pelbagai, bergantung pada tradisi masyarakat yang membuatnya.
 
Dari kiri : Baju perang pahlawan Bugis, baju besi pahlawan Sulu, dan baju kulit buaya pahlawan Nias.

Penciptaan dan penggunaan perisai menjangkau ke seluruh pelosok dunia. Bangsa-bangsa Arab, Parsi, Cina, India, Afrika, dan Eropah semuanya memiliki tradisi penciptaan dan penggunaan perisai yang tersendiri. Tidak kekal dalam rupa tradisinya semata-mata, perisai juga berubah mengikut zaman. Pasukan-pasukan keselamatan dan pertahanan moden masih menggunakan perisai, tetapi dalam pelbagai fungsi dan reka bentuk baru.


Terabai Iban dari Sarawak dan perisai kaum Batak.




















Perisai juga sering digunakan sebagai lambang pada logo, lencana atau jata antaranya jata negeri Kedah, Negeri Sembilan, jata Negara Indonesia, logo Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaya, dan lambang syarikat permotoran seperti Porshe, Lamborgini, dan Proton. Penggunaan perisai sebagai lambang ini selalunya dikaitkan dengan makna kekuasaan, kepahlawanan, keperkasaan, kekuatan, keteguhan, pertahanan, perlindungan, maruah dan harga diri. 

Pelbagai varisai perisai kayu, rotan dan tembaga.
 
Dalam budaya Melayu, penggunaan perisai tidak begitu meluas. Walau bagaimanapun, ada juga sedikit catatan dan bukti bergambar yang menunjukkan orang Melayu juga menggunakan perisai. Selain itu, sedikit koleksi perisai di muzium-muzium tempatan juga membuktikan orang Melayu juga ada membuat dan menggunakan perisai.

Keris senjata untuk melindung diri.

Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya mengambil langkah pro-aktif meneroka perihal “perisai dan pelindung diri” melalui aktiviti “Pameran Perisai”. Objektif pameran ini ialah untuk mendokumentasikan pelbagai peralatan dan pakaian pelindung diri yang ada dalam koleksi muzium tempatan. Secara tidak langsung, ianya adalah satu usaha awal untuk menyediakan bahan rujukan tentang perisai dan pelindung diri di Malaysia.

Perisai rotan dan polycarbonate koleksi Muzium PDRM.
 
Artifak yang dipamerkan termasuklah perisai-perisai tradisional dari Parsi, Acheh, masyarakat Bugis, kaum Iban dan Dayak, selain perisai moden yang digunakan oleh pasukan keselamatan. Pelbagai artifak yang turut berfungsi sebagai pelindung tubuh badan seperti baju besi, topi perang, pending, keris dan beberapa senjata pendek turut dipamerkan.

Contoh pakaian perang pahlawan Islam Parsi.

Pameran Perisai ini telah diadakan di Muzium Etnografi Melayu selama 2 bulan bermula 12 Disember 2011 sehingga 12 Februari 2012. Sempena pameran, satu majlis ilmu bertajuk Perisai Dari Perspektif Islam turut diadakan pada 6 Januari 2012, menampilkan Dr. Ghafar Surip dan Tuan Hj. Mat Radzi  Mohamad Ali, dari JAKIM sebagai penceramah.

No comments:

Post a Comment