Di
Sumatera Utara, tenunan songket yang paling terkenal ialah di Batu Bara,
Kabupaten Asahan, khususnya di Desa Panjang. Songket Melayu Batu Bara merupakan
sebahagian daripada warisan berteraskan budaya Melayu, yang terus hidup dan
didukung oleh orang Melayu di sana.
Alat
tenunan songket di Batu Bara dikenali sebagai “okik”, manakala bahan asas yang digunakan untuk tenunan songket
Batu Bara ialah poliester dan benang emas. Lazimnya, pengusaha membeli
benang-benang dengan warna-warna yang sesuai untuk keperluan menenun. Oleh itu,
tiada proses mencelup atau mewarna benang dijalankan untuk menghasilkan songket
Batu Bara.
Terdapat
persamaan nama motif-motif songket Batu Bara dengan songket Melayu di Malaysia.
Antaranya ialah motif pucuk bertikam, pucuk perak, pucuk pandan, pucuk rebung,
pucuk caul, bunga tanjung, pucuk parang, tampuk manggis, bunga cempaka, dan
bunga tabur.
Perusahaan
songket di Batu Bara dipimpin oleh beberapa orang pengusaha yang biasanya
mengawasi sekitar 40-60 penenun. Kebiasaannya penenun-penenun terdiri daripada
gadis remaja yang mengambil upah menenun daripada para pengusaha. Pelanggan
songket Batu Bara umumnya orang Melayu, terutamanya di kawasan Sumatera Utara.
Selain membeli terus daripada pengusaha, pelanggan songket Batu Bara juga boleh
menempah songket yang mereka kehendaki mengikut ukuran dan warna pilihan mereka
sendiri.
Songket
Batu Bara dipakai sebagai kain sarung, selendang, dan pengikat pinggang oleh kaum
wanita. Selain itu, kaum lelaki juga memakai songket sebagai kain samping,
dastar, dan peci (songkok). Seperti
dalam masyarakat Melayu di Malaysia, songket Batu Bara juga digunakan sebagai
pakaian pengantin.
No comments:
Post a Comment