Tuesday, October 23, 2012

Songket Batu Bara

Di Sumatera Utara, tenunan songket yang paling terkenal ialah di Batu Bara, Kabupaten Asahan, khususnya di Desa Panjang. Songket Melayu Batu Bara merupakan sebahagian daripada warisan berteraskan budaya Melayu, yang terus hidup dan didukung oleh orang Melayu di sana.

Alat tenunan songket di Batu Bara dikenali sebagai “okik”, manakala bahan asas yang digunakan untuk tenunan songket Batu Bara ialah poliester dan benang emas. Lazimnya, pengusaha membeli benang-benang dengan warna-warna yang sesuai untuk keperluan menenun. Oleh itu, tiada proses mencelup atau mewarna benang dijalankan untuk menghasilkan songket Batu Bara.

Terdapat persamaan nama motif-motif songket Batu Bara dengan songket Melayu di Malaysia. Antaranya ialah motif pucuk bertikam, pucuk perak, pucuk pandan, pucuk rebung, pucuk caul, bunga tanjung, pucuk parang, tampuk manggis, bunga cempaka, dan bunga tabur.

Perusahaan songket di Batu Bara dipimpin oleh beberapa orang pengusaha yang biasanya mengawasi sekitar 40-60 penenun. Kebiasaannya penenun-penenun terdiri daripada gadis remaja yang mengambil upah menenun daripada para pengusaha. Pelanggan songket Batu Bara umumnya orang Melayu, terutamanya di kawasan Sumatera Utara. Selain membeli terus daripada pengusaha, pelanggan songket Batu Bara juga boleh menempah songket yang mereka kehendaki mengikut ukuran dan warna pilihan mereka sendiri.

Songket Batu Bara dipakai sebagai kain sarung, selendang, dan pengikat pinggang oleh kaum wanita. Selain itu, kaum lelaki juga memakai songket sebagai kain samping, dastar, dan peci (songkok). Seperti dalam masyarakat Melayu di Malaysia, songket Batu Bara juga digunakan sebagai pakaian pengantin.

Songket Batu Bara yang bermotifkan pucuk rebung dan bunga tampok manggis. Warna hijau pucuk pisang yang menjadi warna dasar kain songket ini  juga disebut sebagai “warna Melayu” oleh orang Melayu di Batu Bara.  Koleksi Muzium Etnografi Melayu.

Monday, October 22, 2012

Penghargaan untuk penyumbang koleksi

Satu hal yang jarang disembangkan berkaitan bidang permuziuman adalah peranan para penyumbang koleksi muzium. Ramai yang tidak menyedari koleksi (artifak) yang dimiliki oleh kebanyakan muzium, pada asalnya adalah milik orang perseorangan. Atas ihsan merekalah artifak-artifak tersebut dipinjam atau disumbangkan kepada pihak muzium supaya dapat dikongsi untuk tatapan umum.

Demikian juga halnya dengan koleksi Muzium Etnografi Melayu. Bermula dengan koleksi peninggalan Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Taib Osman, bilangan artifak Muzium Etnografi Melayu bertambah sedikit demi sedikit, dari masa ke semasa. Tradisi tersebut dikekalkan dengan kakitangan APM sendiri terus menyumbang kepada Muzium Etnografi Melayu. Ini diikuti dengan sumbangan orang ramai, menambahkan lagi koleksi muzium ini.

Allahyarham Prof. Dr. Norazit Selat sempat mengabadikan koleksi peribadi beliau di muzium ini, iaitu siri lukisan rumah Melayu tradisional. Beberapa lukisan lain yang terdapat dalam koleksi Muzium Etnografi Melayu turut disumbangkan oleh Prof. Dato’ Dr. Othman Yatim dan Prof. Datuk Dr. Abu Hassan Sham. Terdapat juga koleksi potret Sutan Takdir Alisjahbana milik Prof. Madya Dr. Rohani Mohd Yusof, dan karikatur wajah para menteri sumbangan kartunis terkenal Rossem.

Prof. Madya Dr. Nor Hisham Osman mendermakan koleksi beliau, iaitu sumpitan iban. Koleksi bunga telur milik Prof. Dr. Hashim Awang turut menjadi penyeri di salah satu sudut Muzium Etnografi Melayu. Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan turut menyumbang kain samping songket dari Sambas dan Siak. En. Mohd. Ramli Raman menyumbangkan beberapa tongkol kayu kemuning dan pendokok keris. Sementara Bapak Mu'alam Husairi dari Sambas, Kalimantan menyumbangkan akordian dan gambus Melayu Sambas.

Selain  sumbangan peribadi daripada warga APM dan orang ramai, sumbangan daripada projek penyelidikan juga menambah lagi koleksi muzium ini. Antara projek penyelidikan yang menyumbangkan koleksi artifak ialah Projek Penyelidikan Songket & Tekstil Melayu, Projek Penyelidikan Rumah Melayu, dan Projek Penyelidikan Masyarakat Melayu Bhuton. Tidak ketinggalan, beberapa karya pelajar projek Praktikum Seni Jabatan Kesenian Melayu APM, seperti lukisan dan model rumah Melayu turut disimpan dan dipamerkan.

Berikut senarai penyumbang koleksi Muzium Etnografi Melayu, mulai tahun 2002 :

1.    Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Taib Osman
2.    Allahyarham Prof. Dr. Norazit Selat
3.    Prof. Dr. Hashim Awang A.R.
4.    Prof. Dato' Dr. Abu Hassan Sham
5.    Prof. Dato' Dr. Othman Yatim
6.    Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan
7.    En. Mohd. Ramli Raman
8.    Prof. Madya Dr. Nor Hisham Osman
9.    Dr. Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali
10.  Prof. Madya Dr. Rohani Mohd. Yusof
11.  Projek Penyelidikan Songket & Tekstil Alam Melayu
12.  Projek Penyelidikan Rumah Melayu
13.  Projek Penyelidikan Masyarakat Melayu Bhuton
14.  Projek Praktikum Seni, Jabatan Kesenian Melayu APM
15.  Pejabat Perhubungan Awam & Korporat UM
16.  En. Latif Pudin bin Misdi (Sendi Lima Furniture Sdn. Bhd.)
17.  En. Mohd. Abdah Hassan (Mega Ukir Kraf)
18.  Pn. Zaleha Md. Yusuf (Perniagaan Myzal Mulia)
19.  En. Rosidi Ismail @ Rossem
20.  Pn. Salma Abu Bakar
21.  En. Muhammad Hafiz Md. Said
22.  Pak Mul'am Husairi

Selain artifak, himpunan pelbagai dokumentari berkaitan seni dan budaya Melayu turut disumbang dan dipinjamkan oleh staf dan para pelajar APM kepada muzium untuk rujukan dan tontonan umum. 

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua penyumbang.

Tuesday, October 9, 2012

Monday, October 8, 2012

Katalog Pameran


Pameran Seni Khat : Munajat Di Tinta Khat (2012)


 

Katalog Rehal (2011)




Wednesday, August 1, 2012

Ceramah : Kerjaya Pengawetan Dalam Permuziuman



Muzium Etnografi Melayu telah menganjurkan ceramah “Kerjaya Pengawetan Dalam Permuziuman” pada 8 Mei 2012, di Dewan Semarak, APM. Aktiviti skala kecil ini telah dilaksanakan dengan jayanya dan berjaya mencapai objektif utamanya iaitu untuk memperkenalkan bidang pengawetan sebagai salah satu disiplin ilmu dan kepakaran kerja yang penting dalam bidang permuziuman.


Ceramah ini telah disampaikan oleh En. Abdullah Abu Hassan, yang pernah berkhidmat selama 29 tahun dengan Muzium Negara, di bawah Unit Alam Semula Jadi. Bidang kepakaran beliau ialah pengawetan, moulding dan casting. Beliau telah berkongsi pengalaman tentang kerjaya beliau dan menunjukkan contoh-contoh kerja beliau menggunakan kaedah pertunjukan slaid. Sesi ceramah telah dipengerusikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Othman Yatim.


Lebih 70 orang peserta yang terdiri daripada staf UM (Perpustakaan, Institut Sains Biologi, dan Jbtn. Patologi Fak. Perubatan), pelajar kursus Seni Bina & Ragam Hias Melayu (JFEA2315), pelajar kursus Pemeliharaan Khazanah Warisan Alam Melayu (JFEA3308) dan Pelajar kursus Pengurusan Muzium, Arkib & Galeri (JFEA2317) telah menyertai dan mengambil manfaat daripada ceramah ini.

Sunday, July 1, 2012

Tuesday, May 1, 2012

Friday, March 2, 2012

Keris



Keris Anak Alang Guling

Sampir : Sari Bulan
Hulu : Tapak Kuda
Kayu : Kemuning Emas
Besi : Tarung Sebatang
Batang Serunai : Kayu Angsana

Koleksi : Muzium Etnografi Melayu



















Keris Tajong

Ukiran : Langkasuka
Hulu : Tajong Bangsa Agong
           Bertatah Perak
Sampir : Tajong
Bilah : Pandai Saras
Batang Serunai : Kayu Angsana


Koleksi : Muzium Etnografi Melayu

Thursday, March 1, 2012

Pameran Perisai



Perisai umumnya dikenali sebagai alat untuk melindungi diri daripada serangan pukulan, tikaman, atau tembakan yang dilakukan oleh lawan pada kita. Menurut Kamus Dewan, perisai ialah alat untuk menangkis senjata (tikaman, pukulan, dll). Dalam bahasa Jawa, perisai disebut taming. Biasanya alat ini digunakan pada tangan, dan boleh dipadankan dengan senjata lain seperti pedang, tombak atau belantan. Selain pada tangan, ada juga perisai yang direka khusus untuk melindungi lain-lain bahagian tubuh seperti muka dan badan. Perisai boleh diperbuat daripada pelbagai bahan antaranya besi, tembaga, kayu, rotan, kulit dan tempurung haiwan. Bentuk dan ragam hias perisai juga pelbagai, bergantung pada tradisi masyarakat yang membuatnya.
 
Dari kiri : Baju perang pahlawan Bugis, baju besi pahlawan Sulu, dan baju kulit buaya pahlawan Nias.

Penciptaan dan penggunaan perisai menjangkau ke seluruh pelosok dunia. Bangsa-bangsa Arab, Parsi, Cina, India, Afrika, dan Eropah semuanya memiliki tradisi penciptaan dan penggunaan perisai yang tersendiri. Tidak kekal dalam rupa tradisinya semata-mata, perisai juga berubah mengikut zaman. Pasukan-pasukan keselamatan dan pertahanan moden masih menggunakan perisai, tetapi dalam pelbagai fungsi dan reka bentuk baru.


Terabai Iban dari Sarawak dan perisai kaum Batak.




















Perisai juga sering digunakan sebagai lambang pada logo, lencana atau jata antaranya jata negeri Kedah, Negeri Sembilan, jata Negara Indonesia, logo Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaya, dan lambang syarikat permotoran seperti Porshe, Lamborgini, dan Proton. Penggunaan perisai sebagai lambang ini selalunya dikaitkan dengan makna kekuasaan, kepahlawanan, keperkasaan, kekuatan, keteguhan, pertahanan, perlindungan, maruah dan harga diri. 

Pelbagai varisai perisai kayu, rotan dan tembaga.
 
Dalam budaya Melayu, penggunaan perisai tidak begitu meluas. Walau bagaimanapun, ada juga sedikit catatan dan bukti bergambar yang menunjukkan orang Melayu juga menggunakan perisai. Selain itu, sedikit koleksi perisai di muzium-muzium tempatan juga membuktikan orang Melayu juga ada membuat dan menggunakan perisai.

Keris senjata untuk melindung diri.

Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya mengambil langkah pro-aktif meneroka perihal “perisai dan pelindung diri” melalui aktiviti “Pameran Perisai”. Objektif pameran ini ialah untuk mendokumentasikan pelbagai peralatan dan pakaian pelindung diri yang ada dalam koleksi muzium tempatan. Secara tidak langsung, ianya adalah satu usaha awal untuk menyediakan bahan rujukan tentang perisai dan pelindung diri di Malaysia.

Perisai rotan dan polycarbonate koleksi Muzium PDRM.
 
Artifak yang dipamerkan termasuklah perisai-perisai tradisional dari Parsi, Acheh, masyarakat Bugis, kaum Iban dan Dayak, selain perisai moden yang digunakan oleh pasukan keselamatan. Pelbagai artifak yang turut berfungsi sebagai pelindung tubuh badan seperti baju besi, topi perang, pending, keris dan beberapa senjata pendek turut dipamerkan.

Contoh pakaian perang pahlawan Islam Parsi.

Pameran Perisai ini telah diadakan di Muzium Etnografi Melayu selama 2 bulan bermula 12 Disember 2011 sehingga 12 Februari 2012. Sempena pameran, satu majlis ilmu bertajuk Perisai Dari Perspektif Islam turut diadakan pada 6 Januari 2012, menampilkan Dr. Ghafar Surip dan Tuan Hj. Mat Radzi  Mohamad Ali, dari JAKIM sebagai penceramah.

Wednesday, February 1, 2012

Wednesday, January 4, 2012

Peneraju JPM - APM (1953 - 2012)


ZAINAL ABIDIN AHMAD (PENDETA ZA’BA)
Ketua, Jabatan Pengajian Melayu, 1953-1958

PROFESOR ROELOF ROOLVINK
Ketua, Jabatan Pengajian Melayu, 1959-1963

PROFESOR SUTAN TAKDIR ALISJAHBANA
Ketua, Jabatan Pengajian Melayu, 1963-1968

PROFESOR EMERITUS DATUK DR. MOHD. TAIB OSMAN
Ketua, Jabatan Pengajian Melayu, 1968-1976 / 1988-1989

TAN SRI PROFESOR EMERITUS DATO’ DR. ISMAIL HUSSEIN
Ketua, Jabatan Pengajian Melayu, 1976-1980

PROFESOR DATO’ DR. ABU BAKAR HAMID
Ketua, Jabatan Pengajian Melayu, 1980-1981

PROFESOR EMERITUS DATUK DR. NIK SAFIAH HJ. ABDUL KARIM
Ketua, Jabatan Pengajian Melayu, 1981-1982 / 1984-1986
Ketua, Akademi Pengajian Melayu, 1990-1992

DATO’ ABDUL RASHID AHMAD
Ketua, Jabatan Pengajian Melayu, 1982-1984 / 1986-1988

DATIN ZAHRAH BUANG
Ketua, Jabatan Pengajian Melayu, 1989–1992

PROFESOR DATUK DR. HASHIM AWANG
Ketua, Jabatan Pengajian Melayu, 1992

PROFESOR DATO’ DR. ABU HASSAN MOHD. SHAM
Ketua, Jabatan Pengajian Melayu, 1992-1994

PROFESOR DR. WAN ABDUL KADIR WAN YUSOFF
Ketua, Jabatan Pengajian Melayu, 1994-1995
Pengarah, Akademi Pengajian Melayu, 1995-1998

PROFESOR DATO’ DR. YAACOB HARUN
Ketua, Akademi Pengajian Melayu, 1992-1995

PROFESOR DR. HASHIM HJ. MUSA
Pengarah, Akademi Pengajian Melayu, 1998-2000

PROFESOR DR. NORAZIT SELAT
Pengarah, Akademi Pengajian Melayu, 2000-2004

PROFESOR DR. HASHIM AWANG
Pengarah, Akademi Pengajian Melayu, 2004-2006

PROFESOR MADYA DATUK ZAINAL ABIDIN BORHAN
Pengarah, Akademi Pengajian Melayu, 2006-2011






PROFESOR MADYA DR. ZAHIR AHMAD
Pengarah, Akademi Pengajian Melayu, mulai 2011