Monday, October 22, 2012

Penghargaan untuk penyumbang koleksi

Satu hal yang jarang disembangkan berkaitan bidang permuziuman adalah peranan para penyumbang koleksi muzium. Ramai yang tidak menyedari koleksi (artifak) yang dimiliki oleh kebanyakan muzium, pada asalnya adalah milik orang perseorangan. Atas ihsan merekalah artifak-artifak tersebut dipinjam atau disumbangkan kepada pihak muzium supaya dapat dikongsi untuk tatapan umum.

Demikian juga halnya dengan koleksi Muzium Etnografi Melayu. Bermula dengan koleksi peninggalan Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Taib Osman, bilangan artifak Muzium Etnografi Melayu bertambah sedikit demi sedikit, dari masa ke semasa. Tradisi tersebut dikekalkan dengan kakitangan APM sendiri terus menyumbang kepada Muzium Etnografi Melayu. Ini diikuti dengan sumbangan orang ramai, menambahkan lagi koleksi muzium ini.

Allahyarham Prof. Dr. Norazit Selat sempat mengabadikan koleksi peribadi beliau di muzium ini, iaitu siri lukisan rumah Melayu tradisional. Beberapa lukisan lain yang terdapat dalam koleksi Muzium Etnografi Melayu turut disumbangkan oleh Prof. Dato’ Dr. Othman Yatim dan Prof. Datuk Dr. Abu Hassan Sham. Terdapat juga koleksi potret Sutan Takdir Alisjahbana milik Prof. Madya Dr. Rohani Mohd Yusof, dan karikatur wajah para menteri sumbangan kartunis terkenal Rossem.

Prof. Madya Dr. Nor Hisham Osman mendermakan koleksi beliau, iaitu sumpitan iban. Koleksi bunga telur milik Prof. Dr. Hashim Awang turut menjadi penyeri di salah satu sudut Muzium Etnografi Melayu. Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan turut menyumbang kain samping songket dari Sambas dan Siak. En. Mohd. Ramli Raman menyumbangkan beberapa tongkol kayu kemuning dan pendokok keris. Sementara Bapak Mu'alam Husairi dari Sambas, Kalimantan menyumbangkan akordian dan gambus Melayu Sambas.

Selain  sumbangan peribadi daripada warga APM dan orang ramai, sumbangan daripada projek penyelidikan juga menambah lagi koleksi muzium ini. Antara projek penyelidikan yang menyumbangkan koleksi artifak ialah Projek Penyelidikan Songket & Tekstil Melayu, Projek Penyelidikan Rumah Melayu, dan Projek Penyelidikan Masyarakat Melayu Bhuton. Tidak ketinggalan, beberapa karya pelajar projek Praktikum Seni Jabatan Kesenian Melayu APM, seperti lukisan dan model rumah Melayu turut disimpan dan dipamerkan.

Berikut senarai penyumbang koleksi Muzium Etnografi Melayu, mulai tahun 2002 :

1.    Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Taib Osman
2.    Allahyarham Prof. Dr. Norazit Selat
3.    Prof. Dr. Hashim Awang A.R.
4.    Prof. Dato' Dr. Abu Hassan Sham
5.    Prof. Dato' Dr. Othman Yatim
6.    Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan
7.    En. Mohd. Ramli Raman
8.    Prof. Madya Dr. Nor Hisham Osman
9.    Dr. Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali
10.  Prof. Madya Dr. Rohani Mohd. Yusof
11.  Projek Penyelidikan Songket & Tekstil Alam Melayu
12.  Projek Penyelidikan Rumah Melayu
13.  Projek Penyelidikan Masyarakat Melayu Bhuton
14.  Projek Praktikum Seni, Jabatan Kesenian Melayu APM
15.  Pejabat Perhubungan Awam & Korporat UM
16.  En. Latif Pudin bin Misdi (Sendi Lima Furniture Sdn. Bhd.)
17.  En. Mohd. Abdah Hassan (Mega Ukir Kraf)
18.  Pn. Zaleha Md. Yusuf (Perniagaan Myzal Mulia)
19.  En. Rosidi Ismail @ Rossem
20.  Pn. Salma Abu Bakar
21.  En. Muhammad Hafiz Md. Said
22.  Pak Mul'am Husairi

Selain artifak, himpunan pelbagai dokumentari berkaitan seni dan budaya Melayu turut disumbang dan dipinjamkan oleh staf dan para pelajar APM kepada muzium untuk rujukan dan tontonan umum. 

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua penyumbang.

No comments:

Post a Comment